Negeri Kelantan dan rakyatnya
telah mendapat manfaat daripada pelbagai projek dan program yang dijalankan
oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai
Timur (ECERDC), seperti yang dapat dilihat melalui lonjakan pelaburan di negeri
ini, serta peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan baharu yang berjaya
diwujudkan untuk penduduk tempatan.
Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC telah
meluluskan peruntukan sebanyak RM688 juta bagi pelaksanaan 31 projek dan
program berimpak tinggi di Kelantan, sebagai sebahagian daripada usaha
menjadikan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebuah wilayah maju menjelang
2020.
“Sejak ECER ditubuhkan pada tahun 2007
sehingga September tahun ini, negeri Kelantan telah berjaya menarik pelaburan
swasta bernilai RM12.2 bilion, atau 14.7 peratus daripada jumlah pelaburan
terkumpul di ECER setakat ini, yang akan mewujudkan 12,555 peluang pekerjaan
baharu bagi penduduk tempatan,” kata Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’
Haji Ahmad Bin Yakob.
Beliau bercakap pada sidang media selepas
mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC
ECER) Kelantan yang ketiga bagi tahun 2015 di sini hari ini. Turut hadir di
sidang media tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri
Jebasingam Issace John.
“Pelaburan-pelaburan yang diterima di
Kelantan telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada
rakyat tempatan, yang secara langsung membantu membangunkan tahap sosioekonomi
dan ekonomi modal di negeri Kelantan khususnya, dan ECER amnya, selaras dengan
matlamat ekonomi berteraskan rakyat (people
economy) yang inklusif dan mampan,” kata beliau.
Sektor pembuatan merupakan penyumbang
terbesar kepada pelaburan di Kelantan dengan 55.9 peratus, diikuti oleh
logistik (16.4 peratus), pelancongan (10.6 peratus) dan hartanah (9.8 peratus).
Antara pelaburan-pelaburan yang telah pun
direalisasi di Kelantan sejak 2007 sehingga kini ialah dua pelaburan berjumlah
RM1.2 billion setiap satu untuk pembinaan kilang simen bersepadu di Gua Musang,
iaitu oleh ASN Cement Industries Sdn Bhd (400 peluang pekerjaan) dan Biz Markz
Cement Industries Sdn Bhd (115 peluang pekerjaan). Di samping itu, Permodalan
Nasional Berhad turut melabur RM125.46 juta untuk pembangunan Hotel Perdana di
Kota Bharu.
Kelantan turut menerima komitmen
pelaburan daripada Tok Bali Supply Base Sdn Bhd yang mengendalikan Pangkalan Bekalan
Tok Bali, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM200 juta yang akan mewujudkan 350
peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan. Bagi tahun 2015 sahaja, jumlah
pelaburan yang diterima di Kelantan adalah sebanyak RM729.4 juta.
Sementara itu, Program Pembangunan Modal
Insan dan Keusahawanan ECERDC seperti empower ECER, entrepreneur ECER, Program
Peningkatan Graduan ECER (ETEP), TERAJU@ECER, dan program pembasmian kemiskinan
Agropolitan, telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 rakyat di Kelantan yang
kini berupaya menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan prestasi akademik yang
lebih baik hasil penyertaan dalam program-program tersebut.
“Pencapaian ini berjaya direalisasikan
melalui projek-projek dan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui
ECERDC dengan kerjasama rapat Kerajaan Negeri,” kata YAB Ustaz Dato’ Haji
Ahmad.
Tambah beliau, pelaksanaan program dan
projek di Kelantan adalah berlandaskan pendekatan ekonomi berteraskan modal dan
ekonomi berteraskan rakyat, bagi memastikan limpahan kemakmuran yang wujud
hasil daripada inisiatif transformasi ECER turut dinikmati oleh penduduk
tempatan.
Sementara itu, program-program
pembangunan modal insan dan keusahawanan ECER akan membantu memastikan
kesediaan tenaga mahir di ECER yang mampu memenuhi keperluan dan kehendak para
pelabur, serta kewujudan kumpulan usahawan tempatan yang mampu menyediakan
ekosistem perniagaan sokongan di Wilayah ini.
empower ECER adalah
salah satu program pembangunan modal insan yang dijalankan oleh ECERDC yang
bertujuan memperkasakan masyarakat tempatan di ECER melalui Latihan Akademik
dan Latihan Kemahiran & Keusahawanan. Program ini adalah sebahagian
daripada usaha ECERDC untuk merapatkan jurang ketidakseimbangan di antara
wilayah dan menangani kemiskinan luar bandar dan golongan bawahan 40% (B40) di
wilayah ini, selaras dengan pendekatan inklusif Kerajaan ke arah menjadi sebuah
negara berpendapatan tinggi.
Di Kelantan, empower ECER kini
dilaksanakan di Jeli, Bachok dan Ketereh. Program Latihan Akademik empower ECER telah
memberi manfaat kepada 6,740 pelajar di negeri ini, yang telah berjaya
memperolehi keputusan akademik yang lebih baik selepas mengikuti program ini.
Sementara itu, Program Latihan Kemahiran
dan Keusahawanan empower ECER direka
terutamanya untuk golongan menganggur, mereka yang berpendapatan rendah dan ibu
tunggal, dengan objektif untuk membekalkan mereka dengan latihan kemahiran dan
ilmu keusahawanan yang mencukupi bagi meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan
mereka untuk mendapat pekerjaan.
Bagi peserta dewasa, adalah dianggarkan
sehingga 80% daripada mereka akan mendapat pekerjaan selepas menamatkan kursus
mereka atau mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan pengalaman praktikal untuk
memulakan perniagaan mereka sendiri. Di Kelantan, seramai 2,220 peserta telah
mendapat manfaat daripada program ini dan berupaya menikmati pendapatan
tambahan antara RM500 dan RM1,500 sebulan, atau lebih.
Program entrepreneur ECER, yang
merupakan satu inisiatif pembangunan keusahawaanan yang dilaksanakan dengan
kerjasama SIRIM, Agrobank dan Maybank, telah memberi manfaat kepada lebih 2,000
usahawan di ECER, yang mana 617 daripadanya adalah dari Kelantan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 509
usahawan Kelantan telah menerima bantuan kewangan melalui skim pinjaman mudah ECERDC-Agrobank
sehingga September tahun ini, manakala 55 lagi telah mendapat manfaat daripada
bantuan kewangan yang ditawarkan di bawah Skim Keusahawanan ECER-Maybank.
Sejumlah 53 usahawan pula telah mendapat manfaat daripada progam pembangunan
produk dan pemasaran yang disediakan di bawah kerjasama ECERDC dan SIRIM untuk
membawa perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi, termasuklah mengeksport
produk mereka ke luar negara.
Dalam usaha membantu usahawan tempatan
untuk menembusi pasaran antarabangsa, ECERDC baru-baru ini membawa enam
peserta entrepreneur ECER, termasuk dua
dari Kelantan, ke Ekspo China-ASEAN ke-12 (CAEXPO) 2015 yang berlangsung di
Nanning, China pada 18 hingga 21 September 2015 untuk mempamerkan produk-produk
halal mereka di acara tersebut. Syarikat-syarikat dari Kelantan tersebut
terdiri daripada Mitra Food Industries dan MH Mohd Industries Sdn Bhd.
Inisiatif Teraju@ECER diperkenalkan
oleh pihak Kerajaan selaras dengan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Sejak
dilancarkan pada tahun 2012 sehingga September tahun ini, ia telah memanfaatkan
147 syarikat Bumiputera di ECER, termasuk 38 syarikat dari Kelantan. Mereka
terdiri daripada 16 Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS) yang telah
diberi bimbingan perniagaan dan perundingan untuk mengembangkan perniagaan
mereka, dan 22 syarikat Bumiputera dengan pelaburan bernilai RM436.5 juta yang
telah diberi kemudahan Dana Mudahcara TERAJU berjumlah RM49.3 juta setakat
akhir September 2015.
Antara syarikat-syarikat TERAJU tersebut
ialah AUEI Teras Holdings Sdn Bhd, Menara One Resources Sdn Bhd, Atira
Development (M) Sdn Bhd, Rushdan Yusoff Properties Sdn. Bhd, Bumi Technopreneur
Sdn Bhd dan Komitmen Mantap Sdn Bhd.
Program ETEP pula akan dimulakan di
Kelantan pada Disember 2015 dengan penyertaan hampir 300 peserta. ETEP
melibatkan perkongsian pintar antara ECERDC dan pelabur di ECER, di mana para
graduan tempatan diberi latihan di tempat kerja, yang diikuti oleh penempatan
pekerjaan di syarikat pelabur.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membasmi
kemiskinan di rantau ini, ECERDC telah melancarkan Projek Agropolitan Kelantan
Selatan (SKA) pada tahun 2009, yang kini melibatkan penyertaan 625 peserta dan
keluarga mereka yang kebanyakannya datang dari latar belakang miskin.
Perladangan kelapa sawit menjadi kegiatan ekonomi utama untuk SKA, yang
disokong dengan penanaman koko, pisang, tebu dan serai di halaman rumah sebagai
sumber pendapatan sekunder. Para peserta SKA kini memperoleh pendapatan purata
sebanyak RM1,700 sebulan dan mereka kini tinggal di rumah serba moden yang
dibina oleh ECERDC, lengkap dengan kemudahan awam seperti dewan serbaguna,
tadika, surau dan lot kedai.
No comments:
Post a Comment